bannerbannerbanner
Tarian Bulan
Tarian Bulan

Полная версия

Tarian Bulan

текст

0

0
Язык: ms
Год издания: 2021
Добавлена:
Настройки чтения
Размер шрифта
Высота строк
Поля
На страницу:
2 из 5

Banyak hari telah berlalu dan apabila tangannya akhirnya berjaya menembusi permukaan, dia dengan jelas mengalirkan airmata gembira. Menolak dirinya keluar dari tanah, Kane membuka matanya dan mendongak ke langit, ketawa hampir seperti orang gila apabila dia melihat langit hitam dan bintang-bintang di atas kepalanya. Melihat semula ke bawah, dia terlihat sekeping kain yang mempunyai tompokan darah kering padanya. Dia mengutipnya, dan mendekatkan kain itu ke hidungnya, menyedut aroma darah yang telah membebaskannya.

Menyimpan ingatan terhadap penyelamatnya di genggaman tangannya, dia mengangkat tuguhnya yang masih tenggelam keluar dari tanah. Malachi dan pengubah bentuk yang sebenarnya telah membunuh isteri jaguar itu terbaring kaku hanya beberapa kaki dari kuburnya.

Merenung ke arah hutan sekeliling, dia tahu yang gadis kecil itu telah lama pergi tetapi Kane sangat yakin yang budak itu teman sejiwanya. Siapa lagi yang boleh mematahkan jampi yang Malachi kenakan ke atasnya?

Terlalu lemah untuk pergi mencari gadis kecil itu, Kane merangkak ke arah Malachi, kelihatan menyentuh lembut pipi lelaki itu. Memalingkan wajah lelaki itu ke arahnya, nafas Kane berada dalam keliru. Malachi sedang memakai subang batu darah. Subang miliknya!

Dalam kemarahan meluap-luap dan pergerakan yang terlalu pantas untuk dikesan, Kane berdiri dengan subang tadi berada di genggamannya. Melihat ke arah Nathaniel, lelaki yang telah memfitnahnya, Kane mengumpulkan seluruh kegelapan kawasan sekitar dan menyelubunginya seperti leret kemudian hilang dalam kepekatan malam.

Kane menghembus keluar nafasnya dan melihat asap terapung di udara, berkepul di hadapannya sebelum hanyut ditiup pergi oleh angin. Dia telah menghabiskan selama sepuluh tahun mengembara dari satu negara ke satu negara, dari benua ke benua, belajar segalanya yang dia ketinggalan sewaktu berada dalam tiga puluh tahun hukuman penjara itu.

Dengan perlahan dia membina semula kekuatannya, bermula dengan anak anjing Yorkie yang dijumpainya meromok di dalam batang pokok mati di hutan itu. Anjing itu pernah menjadi haiwan peliharaan seseorang dan dia berasa sesal berbuat begitu, tapi keperluannya untuk makan lebih kuat berbanding rasa bersalahnya pada ketika itu.

Hanya selepas dia mengisi perutnya barulah dia sedar yang anjing itu kepunyaan anak kecil yang telah membebaskannya. Merasakan sedikit percikan hidup dalam haiwan itu, dia telah melakukan perkara paling terkutuk. Menggigit lengannya sendiri, Kane memaksa beberapa titisan darahnya jatuh ke atas lidah merah jambunya, kemudian membaringkan anak anjing itu di tanah, sambil memikirkan apakah yang sebenarnya sedang dia lakukan. Ia tak mungkin akan berkesan… kan?

Gadis kecil itu sudah menyelematkannya dua kali dan langsung tidak tahu mengenainya. Ingatannya kepada suara ketakutan gadis kecil it masih mempunyai kuasa untuk mengejutkannya dari tidur yang lena. Dia berharap dia dapat melihat gadis kecil itu… walau hanya sekilas pandang sambil mendengar suara yang menghantuinya.

Tangannya mencapai ke dalam saku, dikeluarkan satu kolar kecil dan merenung teg berbentuk tulang padanya. Dia tahu nama keluarga itu tetapi alamat yang ada padanya tidak lagi sah… tidaklah bertahun-tahun. Apabila dia akhirnya belajar bagaimana menggunakan komputer, dia membuat carian tetapi kedua ibubapa gadis itu telah meninggal dunia dan rumah kediamannya telah dijual. Anak perempuan mereka, yang dia pasti telah membebaskannya, telah hilang tanpa sebarang jejak.

Kane melemparkan puntung rokok di sebelah kaki kirinya dan memijak untuk memadamkannya. Sekembalinya ke Los Angeles, dia terus menuju ke kelab di mana Malachi tinggal dan uruskan satu masa dulu, hanya untuk mengetahui yang ia telah dijual dan anak-anaknya telah berpindah ke tempat tinggal yang baru. Tempat baru itu dahulunya ialah gudang terbiar, tapi puak jaguar baru-baru ini telah mengubah suainya dan menukarkannya menjadi kelab malam agar sesuai dengan zaman. Kini anak-anak Malachi yang menguruskan tempat itu.

Dia menggeleng-geleng kepalanya berfikir bagaimana Malachi boleh berkahwin semula mengetahui betapa besar cintanya kepada isteri pertamanya dulu. Isterinya telah menjadi teman sejiwanya dan walaupun pengubah bentuk dikenali dengan selera seksualnya, sekali mereka betemu dengan teman sejiwanya, ianya hampir mustahil untuk mencintai yang lain.

Apabila Kane menyelidik tentangnya, dia mendapat tahu yang isteri baru Malachi telah melahirkan empat orang anak untuknya kemudian meninggal dunia semasa melahirkan anak bongsunya Nick.

Malachi telah mati pada malam dia mendengar ngauman dari dalam tanah , tetapi keinginannya untuk membalas dendam mencengkam jiwanya. Hampir semua pontianak lahir dari kegelapan dan mungkin selama ini Syn telah tersilap tentang dirinya berbeza dengan adik-beradik jahatnya yang lain. Hanya mungkin kehilangan akalnya selepas tiga puluh tahun seksaan telah cukup merosakkan dirinya di mana kini dia tidak terkecuali. Mindanya masih berada di tempat gelap di mana Malachi mengurungnya dahulu.

Sepengetahuan Kane, jaguarlah yang mempunyai kelebihan berbanding pihak lawannya. Kini dia telah kembali untuk memberi penghormatan atas kebaikan... pada seluruh keturunan pengubah bentuk yang terkutuk itu, bermula dengan anak-anak Malachi. Oh, tapi dia tidak akan berhenti setakat itu. Seterusnya adalah anak-anak pengubah bentuk yang pernah memerangkapnya… Nathaniel Wilder.

Mencipta pengikut untuk membekalkannya darah bukanlah sesuatu yang sukar. Kane masih berasa kagum pada pemandangan keseluruhan Gothic bawah tanah di dalam bandar. Kebanyakan mereka hanya bermimpi untuk menjadi seperti dirinya… pontianak sebenar dan bukannya Gothic jadi-jadian.

Apa yang perlu dia lakukan hanya menukarkan satu, dan membiarkan orang bawahan tanpa jiwanya mengikut arahannya. Kane memilih kumpulan paling berbahaya… kumpulan yang kelihatan seperti telah hilang jiwanya kepada kegelapan. Raven, seorang gasar, yang sudah lama menjadi psikopat pinggiran sebagai manusia… seorang buangan Gothic, yang kelaparan darah jauh lebih lama sebelum dia benar-benar mempunyai keperluan untuk itu.

Raven satau-satunya orang yang Kane pernah beritahu tentang pengkhianat pengubah bentuk yang memerangkapnya dan kemudian menanamnya hidup-hidup. Dia sendiri tidak mengerti kenapa dia memberitahu Raven… kebosanan mungkin.

Kane telah membebaskan lelaki gasar itu ke bandar. Selama ini Raven marah kepda dunia sebelum dilahirkan semula sebagai anak kegelapan dan kini Kane telah memberinya peluang untuk melepaskan kemarahannya itu. Raven dengan sendirinya telah membalas dendam atas nama Kane dan pontianak tanpa jiwa itu menggunakan kebolehan baru sepenuhnya.

Dia tidak peduli pun untuk cuba menghentikan Raven kerana ianya benar-benar sepadan dengan perancangan untuk menjatuhkan keseluruhan keluarga Malachi. Mengapa dia perlu melindungi pengubah bentuk itu daripada Raven? Paling-paling pun dia hanya perlu memberitahu budak lelaki itu yang dia tidak perlu membunuh manusia untuk mengisi perutnya, yang dia tidak perlu melakukan sebarang kerosakan, jika dia tidak mahu melakukannya. Bukan salahnya yang menyebabkan Raven memilih untuk membunuh.

Kali pertama Raven membunuh adalah satu-satunya waktu di mana Kane masuk campur, menangkap budak lelaki itu sebelum dia meninggalkan orang-orang yang mati dengan tanda yang ditinggalkan pontianak dalam lingkungan penglihatan manusia. Memastikan rahsia mengenai puaknya telah lama tertanam dalam dirinya untuk memastikan dia terus hidup dan dia lupa untuk berkongsi tentang rahsia itu dengan Raven. Kane kemudian menunjukkan cara bagaimana untuk memotong melalui tanda benaman taring dan membuatnya kelihatan seperti pembunuh kejam.

Raven dengan sengaja meletakkan mangsa-mangsanya berhampiran Kelab Tarian Bulan agar dijumpai oleh pihak berkuasa. Ini adalah rancangan yang sempurna. Kebanyakan pontianak secara semulajadinya kejam jadi Kane telah menghabiskan kehidupan tanpa matinya itu dalam lingkungan pembunuh. Melihat budak lelaki ini membunuh kelihatan biasa pada pandangan jenisnya.

Andai Syn bangun untuk melihat pesta pembunuhan ini, pastinya dia akan bertindak membebaskan dunia ini dari kesengsaraan dengan membunuh Raven atau mengikatnya ke dalam kubur. Kini setelah Kane merasakan pengalaman melalui hukuman tersebut, dia lebih rela memilih untuk mati sebagai pengakhiran pantas untuknya.

Sebelum pemulauannya, dia menjadi sahabat kepada satu lagi pontianak… Michael. Mereka telah berkawan lebih lama daripada apa yang diingatinya atau kemahuan mereka sendiri. Mereka berdua dikurniakan batu darah kerana mereka masih kekal mempunyai roh… mereka berdua dan adik Micheal, Damon.

Michael ialah seorang lelaki yang baik… bak kata orang masih lagi di sisi malaikat, walaupun dia terdengar bahawa sisi gelap dalam diri Damon telah berkembang dan menjadikan abangnya sasaran melepaskan kejahatannya. Mungkin dia akan datang menjenguk Damon selepas urusannya disini selesai dan mengajarnya supaya lebih beradab sopan. Kane tertanya-tanya tentang persaingan adik beradik antara mereka yang muncul secara tiba-tiba kerana Michael sangat sayangkan adiknya… tetapi hal itu sering mempunyai cara untuk berubah.

Kane tidak mahu Michael tahu tentang kesan kejahatan yang ditinggalkan oleh kuburan itu dalam dirinya. Dia menghabiskan sedikit masa selama beberapa minggu yang lalu memerhatikan Michael dari jauh. Dia tahu Michael dan anak sulung jaguar, Warren, kini berkawan… sama seperti dia dan Malachi satu masa dahulu.

Pengubah bentuk adalah pengkhianat dan Michael masih belum mengetahui fakta itu. Dengan menghapuskan pengubah bentuk itu, dia akan tunaikan permintaan terakhit Michael… demi masa lalu mereka.

Kane mencapai ke atas, menyentuh subang yang padanya dilekatkan batu darah mengetahui yang ia sentiasa menyekatnya untuk membunuh manusia. Jika jiwanya benar-benar terjerumus dalam kejahatan, maka magis yang ada dalam batu darah tidak akan berkesan ke atasnya. Dia sering tertanya-tanya bagaimana Malachi boleh terlepas pandang tentang fakta mudah… bukti bahawa dia tidak bersalah betul-betul berada di depan matanya.

Tidak kira… Dia telah pun menghabiskan selama tiga puluh tahun di penjaranya untuk sesuatu yang dia tidak lakukan. “Balas dendam akan terasa seperti neraka kawanku.”

*****

“Telemarketer?” tanya Chad, sambil cuba menyembunyikan senyuman sinisnya, sementara adik perempuannya menghempas gagang telefon ke bawah dengan kuat hingga keseluruhan telefon yang tergantung di dinding turut menerima nasib yang sama. Bersepai telefon itu terhempas ke lantai.

Envy menendang telefon dilantai itu ke ruang tamu, berpura-pura seperti ianya kepala teman lelakinya yang tak guna itu sebelum menoleh ke arah abangnya. “ Kau orang ni semua anjing ke apa, atau cuma yang aku keluar dating je?”

Chad mengangkat kedua tangannya seolah-olah menyerah diri, “Abang rasa, perempuan pun boleh tahan sama. Sekarang ni tolong bertenang dan beritahu abang apa yang berlaku.”

Envy menyandarkan dahinya pada dinding yang sejuk. Dia tidak membenarkan walau setitis pun airmata terlepas dari empangan matanya. Dia tidaklah begitu sukakan Trevor untuk menitiskan airmata untuknya dan dia dah muak dengan semua lelaki yang banyak kekurangan dalam satu hal atau yang lain. “Jason baru saja telefon untuk ajak saya keluar. Dia ingat saya dah kembali solo kerana dia terserempak dengan Trevor di satu kelab tarian yang baru. Dia dilihat sedang mengurat perempuan lain di lantai tari kelab itu.”

Chad menggelengkan kepalanya. Dia langsung tidak berasa kasihan kepada Trevor bila adiknya dapat menangkapnya nanti. “Apa kata kita pergi clubbing?” dia mengangkat sebelah keningnya, tidak mahu terlepas peristiwa hebat ini.

Envy tersenyum,suka dengan idea itu, “Bagi saya sepuluh minit untuk bersiap.”

Chad mengangguk dan duduk di tepi sofa sambil menekan alat kawalan jauh untuk menonton berita, walaupun dia langsung tidak beri perhatian TV di hadapannya. Bukannya dia mahu pun adiknya berdating dengan Trevor. Dia tahu lelaki itu berlagak macam budak baik yang ideal dan kaya semata-mata untuk mengaburi pandangan semua orang terhadapnya, tetapi itu tidak bermakna dia suka lelaki itu menipu Envy tentang dirinya yang sebenar. Jika Trevor berniat untuk meniduri adiknya, sekurang-kurangnya adik perempuannya itu patut tahu kebenaran tentang siapa lelaki itu sebenarnya.

Memulakan hubungan dengan penipuan bukanlah cara yang terbaik. Kalau mahu menipu, adalah lebih baik langsung tidak melibatkan diri dalam hubungan. Dia memerangkap Trevor semasa kali terakhir dia melihat lelaki itu di stesen sebagai ejen penyamar dan telah memberi amaran kepadanya sama ada dia memberitahu Envy perkara yang sebenar atau menjauhkan diri daripada adiknya. Bukan salahnya jika Trevor tidak mahu mendengar apa-apa selain kata-katanya sendiri saja.

Ia menaikkan kemarahan Chad apabila dia berfikir yang Trevor mungkin mempergunakan Envy semasa dia melakukan kerja-kerja penyamaran di bar kelab malam. Dengan Envy sebagai pelayan bar di kebanyakan kelab, ia memberikan alasan buat Trevor untuk mengikutnya masuk ke bangunan kelab sebelum waktu ia dibuka dan tinggal lebih lama selepas kelab ditutup. Berada di situ tanpa ramai orang bersesak-sesak membolehkan Trevor untuk mnyelinap masuk ke mana-mana kawasan kelab dan Envy langsung tidak menyedarinya.

Chad menolak untuk melakukan kerja penyamaran, walaupun kumpulan Gerak Khas telah berkali-kali cuba untuk melibatkannya dalam perkara itu. Paling hampir pun setakat ini, adalah menjadi orang kegemaran mereka untuk merempuh masuk dan menangkap seseorang. Dan dia berasa okey tentang itu. Dia lebih suka berlawan dengan orang jahat berbanding berfoya-foya dan berbual sambil menyelinap ke sana sini, cuba mencari kesalahan seseorang.

Sebaliknya, kawan mereka Jason, ada ciri-ciri teman lelaki yang lebih baik untuk Envy. Dia pernah pergi ke sekolah yang sama dengan Jason, tapi inilah yang menjadi masalahnya. Jason ada hati pada Envy semasa sekolah menengah dan sering datang meluangkan masa dirumah hinggakan Envy menganggapnya seperti seorang abang... bukan lelaki.

Jason telah bekerja sebagai Renjer Taman Negara Angeles sebaik dia tamat persekolahan dan masih lagi bekerja ditempat yang sama semenjak itu. Envy masih gemar meluangkan masa dengan Jason. Dia juga dapat bertemu dengan kawan baiknya Tabatha lebih kerap, kerana Tabatha ialah sebahagian daripada unit pasukan renjer Jason.

Chad bangkit dari sofa dan berdiri di luar pintu bilik Envy. Mereka telah menjadi teman sebilik sejak empat tahun lalu, semenjak kedua ibubapa mereka meninggal dunia dalam kemalangan kereta, dan mereka serasi bersama. Chad ialah seorang anggota polis manakala Envy pula bekerja sebagai pelayan bar on call di beberapa kelab malam dalam bandar itu.

Satu-satunya sebab dia tidak berkata apa-apa kepada Envy supaya mencari kerja “sebenar” ialah kerana pada kebanyakan malam dia membawa pulang lebih banyak wang berbanding dirinya. Itu membuatkan segalanya lebih baik kerana apabila tiba hari pembayaran sewa, Envylah yang selalunya akan menyelesaikan bayaran, sementara dia uruskan hal-hal yang lain.

“Kelab apa?” Dia tanya disebalik pintu.

“Kelab baru yang dipanggil Tarian Bulan,” Envy mengikut rambutnya yang panjang dan merah seperti strawberry tinggi menjadi ponytail, membiarkan rambutnya yang lain berjuntai ke bawah dibelakangnya berlapis panjang. “Lebih baik saya minta kerja sebagai pelayan bar sementara ada di sana.”

Chad mengerutkan dahinya. “Kelab itu jauh dihujung bandar, bukan?” Dia berjalan masuk ke biliknya tanpa menunggu jawapan daripada Envy. Baru-baru ini, perkara-perkara yang berlaku di hujung bandar sudah menjadi lebih berbahaya. Kes kehilangan adalah bahaya yang paling membimbangkan dan beberapa mayat telah ditemui disekitar kawasan berhampiran kelab itu.

Setakat ini tiada apa yang boleh dikaitkan secara langsung dengan Kelab Tarian Bulan, kecuali kesemua mangsa yang dipilih adalah orang yang suka pergi ke kelab malam. Hanya rangka masanya sahaja yang membuatkan Chad dan ramai lagi orang fikir agak meragukan. Terdapat beberapa persoalan sama ada benar atau tidak terdapat pembunuh bersiri di dalam bar itu. Beberapa mangsa terbaru telah dilihat berada dalam kelab itu. Sebagai seorang pegawai polis, dia tidak boleh mengabaikan kemungkinan terdapat perkaitan antara keduanya.

Oleh kerana pistol dan lencananya sudah ada dalam keretanya, Chad menyambar perenjat elektrik kecil dan menyelitnya ke dalam bahagian belakang tali pinggang seluarnya. Dengan begitu banyak perkara buruk yang terjadi disitu, dia mahu Envy memilikinya kalau-kalau sesuatu perkara yang tisak kena berlaku semasa mereka di dalam kelab itu.

Keluar dari biliknya, dia memandang ke arah laluan dihadapannya dan pandangannya terhenti serta merta apabila melihat adiknya. Skirt kulit berwarna hitam dengan renda terjuntai keluar dibahagian bawah pada paras separuh peha menutup kakinya dan dipakai dengan baju berenda hitam paras atas pusat. Hanya terdapat beberapa tompokan kain kulit di bahagian yang penting… cukup untuk menyembunyikan buah dadanya dan mendedahkan pusat dan pinggangnya yang ramping.

Dia juga memakai sepasang but kulit berwarna hitam yang separas buku lali dengan rantai comel yang melilit kakinya. Seutas rantai penggalan ibu mereka bertahun-tahun yang lalu menghiasi lehernya dengan loket kuarza amethyst tergantung pada rantai itu. Kebanyakan dari rambut merahnya diikat dengan ikatan ponytail tinggi dengan sedikit daripadanya jatuh di atas sebelah bahunya.

Solekannya sempurna dengan sedikit penggaris dan pembayang mata berwarna hitam dan gincu bibir bertona gelap. Dia kelihatan seperti dominatrix.

“Wow, kita nak keluar membunuh ke ni?” Chad mengangkat sebelah keningnya, menilai penampilan adiknya atas bawah dua kali. Dia ada terfikir untuk batalkan saja rancangan untuk keluar malam ini dan menyuruh adiknya kembali ke bilik atas sebab keselamatan.

“Baik, saya dah buat keputusan,” Envy mengangkat keningnya, “Selepas saya uruskan Trevor, saya nak berseronok! Mulai sekarang, saya tak mahu lagi bertemu janji dengan seorang lelaki. Saya tak mahu ada seorang teman lelaki...saya nak BANYAK teman lelaki! Dangen cara itu, kalau seorang buat perangai, tak perlu kisah pun sebab saya akan ada ramai lagi yang lain, gembira untuk singkirkan dia.”

“Yalah, abang ingat lagi macam mana ‘lancar’nya plan tu berjalan masa sekolah menengah dulu.” Chad menggeleng-gelengn kepalanya, tahu yang adik perempuannya yangn satu ini lebih naif daripada apa yang dia pura-pura tunjukkan. “Jom naik kereta abang kalau-kalau balai panggil.”

“Hanya kalau saya dapat bermain dengan lampu biru,” Envy tersenyum, mengetahui yang abangnya pasti izinkan.

Chad menghembus nafas berat dan mula berjalan ke arah keretanya. “Aku bersumpah kau ni lebih teruk dari budak kecil di kedai mainan meramas setiap patung mainan yang berbunyi bising dan buat semua orang jadi gila.”

“Apa?” adiknya ketawa. “Saya suka lampu biru. Semua orang beri laluan bila saya hidupkannya.”

“Macam masa kamu buathidupkannya ketika kita kehabisan kopi dulu?” tanya abangnya. “Kamu tahu kan itu membazirkan duit pembayar cukai, betuk tak?”

“Kalau abang tak diam saya akan drive kereta ni. Nanti abang kena hadap dengan lampu merah dan siren,” dia memberi amaran sambil mengenyitkan matanya.

Chad serta merta diam kerana kali terakhir perkara itu berlaku, adiknya terlambat ke tempat kerja dan dia sangat tidak sihat untuk memandu jadi dia duduk di kerusi penumpang, tidur dengan nyenyak. Ketua pasukannya masih lagi mengusiknya mengenai hal itu.

*****

Envy mematikan lampu biru kereta peronda abangnya lebih kurang satu blok bangunan sebelum tiba di kelab malam itu dan mendongak sambil melihat lampu limpah yang menari merentasi langit yang dilitupi awan itu. Dia fokuskan penglihatannya sebaik sahaja bangunan dua tingkat kelihatan dalam pandangannya.

Dia terlalu sibuk kebelakangan ini hinggakan dia tidak berpeluang untuk pergi melihat-lihat di kelam Tarian Bulan, tetapi beberapa pelanggannya pernah bercakap tentang kelab itu. Dari luar, kelab itu nampak biasa-biasa saja. Kelihatan seperti gudang batu-bata dengan sedikit jendela dan lampu neon besar berwarna ungu, digantung tinggi pada tembok hadapan.

Ramai orang beratur dalam satu barisan panjang merentasi separuh tempat letak kereta berpakaian dengan pakaian kelab terbaik yang mereka ada dan rancak berbual dengan satu sama lain. Mengetahui yang masih ada satu barisan selepas jam sepuluh malam memberitahu Envy yang bekerja disini mungkin boleh mendapat hasil lumayan.

“Yep, semestinya saya akan minta kerja di sini,” dia tersenyum pada fikirannya sendiri.

“Sekurang-kurangnya barisan tu dah hampir hilang,” kata Chad secara sarkastik, tidak mahu menunggu untuk melihat Trevor dibelasah adiknya yang penuh adrenalin itu.

Chad memarkir keretanya jauh di sudut gelap tempat letak kereta betul-betul di sebelah kereta Trevor. Sebelum Envy dapat membuka pintu kereta itu, Chad menyambar tangan adiknya. “Ambil ni,” dia meletakkan perenjat elektrik kecil ditangan Envy dan kemudian, tanpa sepatah kata tentangnya, dia membuka pintu keretanya dan keluar.

Envy menggenggam alat itu dengan jemarinya sambil tersenyum. Abangnya telah mengajarnya seni bela diri hingga ke tahap di mana dia mungkin boleh kalahkan kebanyakan rakan sejawat abangnya tanpa setitis peluh pun. Tapi Chad selalu berkata, ‘Kenapa nak bertumbuk, kalau apa yang perlu dilakukan hanya tekan satu butang?’

Envy menyelit perenjat kecil itu ke kocek sisi pada skirtnya bersama-sama dengan kad pengenalannya. Semestinya dia akan kenakan Trevor kali ini. Dengan gembira dia akan menekan butang lif ke neraka semata-mata ingin melihat lelaki itu di dalamnya sekarang ini. Tiada sesiapa pun yang boleh curang pada Envy Sexton akan berjaya melepaskan diri.

Mereka berjalan ke arah barisan bersama-sama dan Envy sangat gembira apabila barisan mula bergerak dengan laju yang hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk masuk ke kelab itu.

Pengawal pintu di situ memakai seluar Armani yang dipadankan dengan jaket sut yang sama. Kemeja di dalamnya mengikut lengkuk badan dan mendedahkan dadanya yang bidang. Rambut perangnya beralun jatuh ke sisi wajahnya. Kelihatan janggut ynag baru dicukur memenuhi dagunya dan dia mempunyai mata hitam yang menusuk, bersinar dibawah lampu neon yang menerangi tempat itu.

Chad menghulurkan wang dan menunjukkan kad pengenalan mereka sebelum lelaki itu menanda tangan mereka dengan cop dan melepaskan tali baldu merah tanda kebenaraan telah diberikan. Mereka melangkah masuk melalui pintu utama dan berjalan di laluan kecil menuju ke sebuah lagi pintu yang terbuka semasa mereka menghampirinya. Kedua-dua mereka berhenti apabila mereka memasuki ke ruang utama dan merenung sekeliling. Ianya seperti masuk ke dimensi lain.

Bagi ruang sepadat tempat letak kereta diluar, pastinya dia terfikir yang di dalam juga dipenuhi manusia dari dinding ke dinding tapi rupanya tekaannya meleset sama sekali. Bibir Envy terbuka sebaik dia berjalan ke arah satu ruang besar di tengah-tengah bilik itu.

Melangkah menghampiri selusur, dia menundukkan kepala memandang lantai tari di bawah. Di salah satu sisi mereka terdapat laluan turun yang panjang merentasi aras utama dengan kaunter bar dibina dari hujung ke hujung. Bar itu sendiri kelihatan seperti kaca fros dengan pencahayaan lembut dari neon tersulam melaluinya.

Dua set anak tangga turun dari arah kiri dan kanannya dan bertemu ditengah-tengah sebelum turun lagi ke arah lantai tari yang sebenar dibawahnya. Lantai tari itu bersinar dengan cahaya yang lembut, cukup untuk mengikat kaki mereka dalam sejenis cahaya hitam. Semuanya menambah hiruk pikuk kelab itu yang dicipta oleh lampu strob tinggi beserta cahaya dari lampu limpah berwarna warni yang menyuluh ke mana-mana arah kecuali terus ke arah penari.

Cara tempat itu direka, orang-orang yang sedang menari di lantai tari boleh dilihat dari lutut ke bawah, tapi selain daripada itu, semua hanya bebayang kabur.

Envy bersandar di selusur, meninjau kalau-kalau ada lagi bar di aras bawah tetapi yang kelihatan hanyalah lantai tari. Dia terfikir yang ini lebih kurang seperti sebuah lubang dalam. Sekali kaki melangkah menuruni tangga itu, mereka akan berada dalam belas ehsan kegelapan yang menyelubungi penari-penari itu secara peribadi.

На страницу:
2 из 5